بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ
.
Khutbah Jumaat: “Tuntutan Ibadah Di Bulan Syawal”

Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Saya berpesan kepada tuan-tuan dan diri
saya sendiri marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan
memperkukuhkan pengabadian diri kita kepada-Nya dengan melaksanakan
segala perintah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan pada
bulan yang penuh kebahagian ini menjadikan kita insan yang berjaya di
dunia dan akhirat. Tajuk mimbar Jumaat pada hari ini ialah: “TUNTUTAN IBADAH DI BULAN SYAWAL”.
.
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Kesempurnaan ibadah seorang Islam bukan
sekadar terletak kepada amalan-amalan fardhu yang diwajibkan oleh Allah
SWT, malah ia turut ditampung oleh amalan-amalan sunat di dalam
memperindahkan lagi mutu ibadah yang dilakukan.
Justeru, sebagai umat Islam yang sentiasa
berkeinginan untuk menyempurnakan ibadah kepada Allah SWT, maka pada
bulan Syawal yang mulia ini kita dituntut melakukan beberapa perkara
antaranya, pertama: berpuasa enam hari di bulan Syawal sebagai menambah
nilai puasa wajib di bulan Ramadhan. Sabda Rasulullah SAW:

.
Imam al-Tabrani pula ada menyatakan di dalam susunan hadithnya yang berkaitan dengan fadhilat puasa enam Syawal yang maksudnya: “Sesiapa
yang berpuasa Ramadhan dan diikuti kemudiannya puasa enam hari dalam
bulan Syawal, keluarlah dari dirinya segala dosa seperti hari dia
dilahirkan oleh ibunya.”
.
Namun, terdapat beberapa persoalan
tentang perlaksanaan puasa enam Syawal adakah terus dilaksanakan
selepas hari raya pertama dan dibuat secara berturut-turut atau boleh
dilakukan pada bila-bila masa sepanjang Syawal sama ada secara
berturut-turut atau sebaliknya?. Berdasarkan kepada pendapat di dalam
mazhab Syafie menyebut bahawa yang terlebih afdhal di dalam
perlaksanaannya ialah sejurus selepas hari raya pertama dan dilakukan
enam hari berturut-turut.
.
Ini tidak pula bermakna, jika seseorang
itu melaksanakan secara terputus-putus (tidak berturutan) atau dilakukan
pada pertengahan atau akhir Syawal dianggap satu kesalahan atau tidak
mendapat pahala, malah semuanya diterima Allah dan dikira sebagai satu
ibadah juga. Satu lagi persoalan yang timbul disini ialah, apakah
hukumnya jika seseorang itu berniat untuk qadha puasanya dan dibuat enam
hari dalam Syawal adakah akan mendapat pahala puasa enam Syawal?
.
Menurut Syeikh al-Marhum Atiyyah Saqar
salah seorang ulama terkenal al-Azhar di dalam kitab himpunan fatwanya,
bahawa hukumnya dibolehkan kepada seseorang untuk qadha puasanya dan
ditunaikan enam hari dalam bulan Syawal dengan niat qadha, maka
terhasillah baginya pahala qadha dan pahala puasa enam Syawal. Tetapi
yang lebih afdhal ialah diasingkan antara puasa qadha dan puasa enam
Syawal kerana puasa qadha itu hukumnya wajib dan puasa Syawal itu
hukumnya sunat, maka adalah lebih baik tidak disatukan niat kerana
antara yang sunat dan wajib itu tidak boleh disatukan.
.
Mimbar ingin menyatakan bahawa, antara
hikmat disyariatkan puasa enam hari bulan Syawal ialah sebagai satu
latihan kepada kita bahawa amal ibadah itu bukan terletak pada
bulan-bulan tertentu seperti Ramadhan bahkan amalan itu perlu konsisten
untuk sepanjang kehidupan manusia. Ia juga sebagai satu cabaran kepada
orang-orang Islam supaya tidak menjadikan Syawal itu bulan bergembira
semata-mata dan jika puasa itu dilakukan seawal mungkin di permulaan
Syawal, ini akan menjadikan seseorang manusia itu benar-benar ingin
menyahut seruan dari Allah untuk terus beribadat secara istiqamah dan
berpanjangan.
.
.
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Satu lagi amalan terpuji di bulan Syawal yang
menjadi budaya besar-besaran umat Islam di negara ini dan ketika
sambutan Idulfitri ialah amalan ziarah atau kunjung mengunjung satu
sama lain. Amalan ini memberi manfaat yang amat besar dan faedah yang
berguna dalam konteks persaudaraan dan perpaduan ummah. Amalan ziarah
ini membolehkan yang jauh menjadi dekat, yang renggang menjadi rapat,
yang bersengketa menjadi damai, yang susah menjadi mudah dan sebagainya.
Maka dengan amalan ziarah akan terbentuklah satu ikatan kasih sayang
yang dapat mengeratkan sesama insan. Ini disebabkan asal keturunan
manusia berpunca daripada ibubapa manusia yang sama iaitu Nabi Adam AS
dan Hawa. Sebab itulah Islam mengajak manusia saling kenal mengenali
antara satu sama lain, hormat-menghormati, saling kerjasama dan faham
–memahami sesama insan. Firman Allah SWT dalam surah al-Hujuraat ayat 10:

.
Bagi menjamin kerukunan amalan ziarah dan
bertetamu ini dalam keadaan harmoni dan aman damai, maka berdasarkan
ayat al-Quran dan amalan Rasulullah SAW beberapa peraturan dan adab yang
perlu diberi perhatian oleh umat Islam antaranya ialah;
Pertama: Sebagai tetamu mestilah berniat baik di atas kunjungannya.
Kedua: Jangan dibezakan antara orang kaya dan miskin ketika membuat jemputan.
Ketiga: Hendaklah jangan ditolak sesuatu
undangan hanya semata-mata berpuasa sunat, sebaliknya terimalah undangan
dan hendaklah berbuka kerana untuk menimbulkan kegembiraan dipihak yang
membuat undangan.
Keempat: Hendaklah menolak undangan di
mana makanan yang dihidangkan itu terdapat syubhat dan terdapat aktiviti
munkar atau orang yang mengundang itu bersifat fasik, zalim atau suka
membesar diri. Hadith Rasulullah SAW:

Kelima: Semasa berkunjung hendaklah
memilih waktu yang sesuai. Janganlah berkunjung pada waktu awal pagi,
tengah hari dan larut malam kerana kebiasaan pada waktu itu pihak tuan
rumah ingin beristirahat atau membuat persiapan keperluan keluarga.
Keenam: Perlu memohon izin dan memberi salam sebelum memasuki rumah yang ingin dikunjungi.
Ketujuh: Selaku tetamu adalah sangat
digalakkan agar berjabat tangan dengan tuan rumah sebagaimana dengan
hadith Nabi SAW riwayat dari al Barra’ RA yang bermaksud: “Tidak ada dua orang muslim yang bertemu,lalu saling berjabat tangan, kecuali kedua-duanya diampuni Allah SWT sebelum berpisah.” Walaubagaimanapun amalan berjabat tangan ini mestilah dilakukan mengikut lunas-lunas Islam.
Kelapan: Sebagai tetamu juga tidak
sepatutnya bebas melakukan apa sahaja di rumah orang lain kerana
perbuatan itu akan mengganggu dan tidak disenangi oleh tuan rumah.
Kesembilan: Menjaga mata, jangan mencuri
dengar atau mengintai tuan rumah, janganlah mengangkat suara semasa
berada di dalam rumah dan jangan mengambil masa yang lama ketika
berziarah.
.
Manakala bagi pihak tuan rumah, agama
Islam turut menggariskan beberapa adab yang perlu dipelihara dan
dihayati oleh tuan rumah antaranya dengan menghormati dan memuliakan
tetamunya. Dalam masa yang sama,tuan rumah juga disarankan agar
menghidangkan jamuan yang terbaik mengikut kadar kemampuan. Janganlah
ada maksud untuk berbangga-bangga tetapi tujuannya adalah untuk
merapatkan seluruh kawan serta memberikan kegembiraan dalam jiwa tetamu.
Memuliakan dan melayan tetamu dengan baik adalah amalan para Nabi dan
Rasul terdahulu.
.
.
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Satu lagi adab penting yang ada kaitan
dengan ziarah dan bertetamu ini ialah menjaga adab makan-minum.
Adab-adab makan yang diajar oleh Rasulullah SAW ialah;
Pertama: Memulakan makan dengan membaca Bismillah.
Kedua: Mengakhiri makan dengan bacaan Alhamdulillah.
Ketiga: Makan dengan menggunakan tiga jari kanan
Keempat: Menjilat jari jemari sebelum mencuci tangan
Kelima: Tidak meniup makanan yang masih panas,
Keenam: Menghindari diri dari kenyang yang melampau batas.
Ketujuh: Memulakan makan dengan mengambil makanan yang dekat dengan kita.
Kelapan: Sewaktu makan, janganlah berdiam diri sahaja, tetapi bolehlah bercakap perkara yang baik-baik.
.
Demikian juga apabila kita minum, jangan
minum seperti unta minum yang meminum air sekali gus, minumlah seteguk
demi seteguk. Mimbar juga ingin berpesan ketika kita memilih makanan,
ambillah makanan yang berzat dan secara sederhana serta janganlah
membazir.
.
.
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Sebagai kesimpulan khutbah minggu ini,
mimbar menyeru marilah kita melaksanakan tuntutan amalan di bulan
Syawalyang mulia ini dengan melakukan ibadah sunat yang dapat menampung
dan menyempurnakan ibadah fardhu kita. Didiklah serta bimbinglah
ahli-ahli keluarga kita agar menjaga adab-adab ketika melakukan ziarah
dan melayan tetamu supaya kita menjadi insan yang bertamadun,
berperibadi tinggi dan memiliki sifat tama’ninah dan tingkahlaku kita
tidak menjadi bahan ketawa orang lain serta menjatuhkan maruah. Ambillah
kesempatan pada bulan yang mulia ini untuk menambah lagi pahala dan
merapatkan hubungan silaturrahim sesama kita.Sebagai peringatan marilah
sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Kahfi ayat 30:

.
