Apa istimewanya tanggal 14 Februari? Ia disambut dengan penuh
kegembiraan oleh sebilangan besar rakyat dunia pada masa kini. Saban
tahun, ramai tertunggu-tunggu akan tibanya tarikh tersebut. Kononnya ia
adalah hari kekasih yang mana merupakan detik yang tepat buat pasangan
yang hangat bercinta meluahkan rasa kasih dan cinta sesama mereka. Tidak
kira dalam bentuk apa sekalipun, asalkan hasrat hati mereka tercapai.
Jika diperhatikan, budaya menyambut hari kekasih ini sudah mendapat
tempat dan begitu popular dalam kalangan masyarakat kita termasuklah
yang beragama Islam. Ia lebih tertumpu kepada golongan remaja biarpun
ada dalam kalangan kita yang sudah berumahtangga sekalipun turut sama
meraikan.
Menyimpang
Hari kekasih begitu sinonim dengan pemberian hadiah berupa coklat dan
bunga mawar merah. Ia adalah lambang kasih sayang yang sangat istimewa
yang diberikan. Bunga mawar dipersembahkan dalam hiasan dan balutan yang
cantik manakala coklat pula disampaikan dengan bentuk dan kotak yang
menarik sama ada berbentuk hati dan sebagainya. Tidak cukup dengan
hadiah, ada yang meraikan dengan makan malam istimewa dan juga
'pembuktian' ketulusan cinta yang dibina. Walaupun ia jauh sekali
menyimpang daripada budaya dan syariat umat Islam, namun kerana nafsu,
ia dikira 'halal'.
Hari ini, umat Islam terpaksa berhadapan dengan pelbagai bentuk
ancaman sama ada dari sudut budaya mahupun agama. Kita telah dijajah
dari keseluruhan cara hidup, mentaliti, kelakuan dan juga amalan
kerohanian yang sudah boleh dilihat adanya percampuran dengan
unsur-unsur dari barat. Jadi, tidak hairanlah jika sambutan yang
diraikan oleh golongan kristian turut sama disertai oleh umat Islam yang
mudah terpengaruh.
Justeru, hari kekasih langsung tidak ada dalam sejarah Islam. Malah
Islam sentiasa bersifat universal dan tidak dibatasi waktu, tempat,objek
dan juga motif untuk menunjukkan kasih sayang. Hal ini sesuai dengan
hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, "Cintailah saudara se-Islam seperti
kamu mencintai dirimu sendiri." (Riwayat Bukhari). Jadi ikutan siapakah
hari kekasih ini? Apabila kita leka, kita secara tidak langsung akan
meminggirkan suruhan agama dan lebih kepada mengikut hawa nafsu dan
mencari keseronokan hidup. Tanpa kita sedar, rupanya kita menyambut hari
pemujaan penganut kristian.
Menurut catatan sejarah, pelbagai kisah yang diceritakan mengenai
asal usul sambutan hari kekasih ini. Ada yang mengatakan, sebelum abad
ke-17 masihi, masyarakat Rom meraikan Hari Valentine pada 14 Februari
setiap tahun sebagai hari mencintai tuhan atau patung pujaan mereka.
Manakala dalam penceritaan lain, hari kekasih ini diraikan oleh penganut
Kristian yang memuja seorang paderi bernama St. Valentine dengan
menganggap beliau seorang yang mulia kerana sanggup berkorban dan mati
demi kasih sayangnya terhadap agama Kristian dan penganut-penganutnya.
Walau apa pun, jelas sekali ia langsung tiada kaitan dengan hari
kebesaran buat umat Islam untuk turut sama meraikannya.
Hati-hati
Allah telah berpesan kepada hamba-Nya, amal buruk jangan dikerjakan
tidak kira dalam apa jua bentuk kelakuan sekalipun tetapi manusia sering
melakukan sebaliknya. Apa-apa yang dilarang, itulah yang dibuatnya.
Sama ada disebabkan ceteknya ilmu agama atau kerana terlalu mengikut
hawa nafsu, jawapannya ada pada diri sendiri. Yang pasti, sambutan hari
kekasih sudah menjadi trend dan mereka yang tidak meraikannya dipandang
kolot dan 'out dated'.
Hakikatnya, sifat manusia ini lemah. Mudah terpengaruh dengan
anasir-anasir jahat yang sengaja ingin memusnahkan dan melemahkan
pegangan umat Islam. Golongan yang tidak senang dengan kehebatan Islam
cuba merosakkan budaya dan akidah walau dengan apa cara sekalipun. Jika
kita perhatikan, sebelum tiba tarikh 14 Februari, sebilangan besar media
massa di seluruh dunia berlumba-lumba menyiarkan tentang kemeriahan
menyambut hari kekasih, pasaraya dan pusat membeli belah pula membuat
promosi besar-besaran dari segi hiasan, potongan harga dan juga tayangan
filem-filem cinta bagi membesarkan lagi sambutan hari kasih sayang ini.
Sebagai umat Islam yang diwajibkan patuh pada ajaran Islam dan
berpegang kepada al-Quran dan as-Sunnah, tinggalkanlah perbuatan yang
sia-sia ini. Ia bukanlah hiburan yang boleh mengembirakan hati kita
malah memesongkan akidah. Kita wajar tahu yang beramal mengikut sesuatu
yang bertentangan dengan suruhan Allah itu boleh menjejaskan akhlak,
akidah dan juga keimanan kita terhadap Allah SWT.
Tiada istilah menyambutnya sekadar suka-suka. Keterlibatan kita
dengan sambutan hari kekasih yang jelas khusus untuk golongan Kristian
sudah dikira salah, malah jatuh kepada perkara haram kerana menggalakkan
pasangan berdua-duaan dan menyalurkan rasa kasih sayang diluar batas
syariat. Walau bagaimanapun, bagi yang sudah berkahwin, amat digalakkan
berkasih sayang tetapi janganlah membesar-besarkan tarikh 14 Februari
sebagai hari yang istimewa buat diri dan pasangan tetapi jadikan setiap
hari adalah hari kekasih. Selain memperolehi kebahagiaan, kita juga
diberi ganjaran pahala di atas amal kebaikan yang dilakukan setiap hari.
No comments:
Post a Comment